Jutawan kosmetik yang dibunuh kejam, Datuk Sosilawati Lawiya sempat membeli kerepek dan kuih raya di sebuah kedai di Banting pada 30 Ogos 2010, sekitar jam 4 petang.
Seorang bekas Juruwang di kedai yang bernama
Fazz Enterprise Sdn Bhd, Zuriyani Jemaat, 27, mengesahkan kehadiran Sosilawati di kedainya untuk membeli beberapa jenis kerepek dan kuih raya yang berharga RM200 sebelum beredar.
“Datuk Sosilawati dan pemandunya, Kamal, ada singgah di kedai (Fazz Enterprise Sdn Bhd) untuk membeli kerepek dan kuih raya pada 30 Ogos 2010,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, di sini hari ini.
Saksi ke tujuh kes perbicaraan itu juga memberitahu mahkamah bahawa Sosilawati dan Kamal berada selama satu jam dua puluh minit di premis jualan kerepek tersebut sebelum beredar dengan menaiki kenderaan jenis BMW pada jam 5.20 petang.
Bagaimanapun, Zuriyani dilihat tertekan ketika diasak oleh pertanyaan peguambela yang diketuai oleh Manjeet Singh yang bertanyakan tentang wawancara dengan wartawan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan mengenai resit pembelian Sosilawati itu.
Disoal tentang bagaimana dia mengenali Sosilawati, Zuriyani menerangkan bahawa dia mengenali jutawan kosmetik itu melalui majalah Wanita yang dibacanya.
Dia sering menjawab ‘tak ingat’ kepada barisan peguambela kes hingga menyebabkan peguambela Amer Hamzah Arshad hilang sabar dan mengandaikannya mengalami masalah ‘memori terpilih’.
“Awak boleh ingat pada semua jawapan yang diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya, tapi tak ingat pula bila disoal peguambela,” katanya Amer Hamzah.
Bagaimanapun, Zuriyani menerangkan bahawa dia lupa tentang maklumat yang disoal peguambela memandangkan peristiwa itu sudah lama.
Turut dipanggil mahkamah untuk memberi keterangan ialah jurugambar Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, K Velamal a/p Kannapan, 33 (sambungan keterangan semalam), jurugambar JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Lans Korperal Kahsmir Luntuk, 25, dan Lans Korperal Mohd Fairol Azwan Jaafar, 39.
Ketiga-tiga jurugambar yang memberi keterangan di mahkamah hari ini memberitahu bahawa mereka diarahkan oleh pegawai bertugas untuk mengambil gambar di lokasi-lokasi kejadian dan bahan-bahan bukti yang ditemui di sekitarnya.
Bagaimanapun, mahkamah ditangguhkan sebentar sebanyak dua kali oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir ekoran masalah teknikal mengenai set gambar yang tidak konsisten yang diedarkan kepada mahkamah dan peguambela.
Hari ini merupakan hari kedua perbicaraan pembunuhan kejam yang melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin atau Kamal, 44, setelah bermula semalam.
Pendakwaan kes ini membicarakan bekas peguam, Nathmanabhan, dan tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyagan, 20, R Matan, 21 dan R Kathavarayan, 31, yang mengaku tidak membunuh keempat-empat mangsa.
Mereka dituduh membunuh keempat-empat mangsa di Lot no.2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mahkamah ditangguhkan Hakim Datuk Akhtar Tahir hari ini sebelum bersambung perbicaraan pada pukul 9 pagi, esok.