Apa Hukum Pakai Tali leher???? setiap lelaki yang bekerjaya dan belajar konpem pernah pakai tali leher..budak sekolah pun dah mula pakai..tapi apa hukum die...ada hadis menyatakan apabila kita menyerupai sesuatu kaum..maka kita termasuk dalam golongan tersebut...dan kita tau.yang tali leher diperkenalkan oleh orang Inggeris..apa hukum kita pakai????
Jawapan:
Hukum asal memakai pakaian dalam apa-apa bentuk, warna dan fesyen adalah harus asalkan ianya menutup aurat dan tidak termasuk dalam perkara yang dilarang seperti memakai sutera (bagi lelaki), terlalu nipis atau ketat sehingga menampakkan bentuk badan atau pakaian yang mempunyai lambang atau sinonim dengan agama tertentu seperti salib dan sebagainya. Pada hemat saya, kekeliruan mengenai hukum memakai tali leher dan reben yang dikemukakan ini berpunca daripada kefahaman mengenai hadis yang melarang umat Islam meniru kaum lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksudnya :
“ Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka “
“Menyerupai“ boleh juga diertikan sebagai “ menyamai“, “meniru-niru “, “ mengajuk-ngajuk “ dan sebagainya . Sekiranya perkataan tersebut difahami secara umum mengikut zahir nas, sudah tentu ianya tidak sesuai diertikan “menyerupai“ secara mutlak kerana dalam kehidupan seharian terdapat banyak perkara yang sama antara orang Islam dengan orang-orang bukan Islam. Contohnya: kita memakai jam mereka juga pakai jam, kita pakai kain batik mereka pun pakai kain batik, kita pakai baju kurung mereka juga pakai baju kurung, kita makan pakai tangan, mereka pun makan pakai tangan. Kalau kita makan dengan sudu dan garpu , mereka pun begitu juga. Kalau kita pakai kemeja dan seluar, mereka pun begitu juga. Pendek kata, banyak perkara yang serupa yang kita dan mereka lakukan di dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, saya tegaskan bahawa larangan menyerupai dalam konteks hadis di atas adalah yang mirip kepada unsur keagamaan.
Pada hemat saya, kekeliruan juga timbul akibat daripada tidak dapat membezakan antara hukum dan sentimen. Hukum adalah sesuatu yang bersandarkan kepada dalil manakala sentimen adalah yang disandarkan kepada emosi dan perasaan. Tidak dapat dinafikan bahawa dunia Barat adalah kuasa yang banyak melakukan penindasan, kezaliman dan mencipta sejarah duka kepada umat Islam. Namun pakaian dan stail mereka memang sebegitu bertali leher, coat, reben dan sebagainya. Jesteru, hukum yang difatwakan kadangkala dipengaruhi oleh sentimen membenci tindak tanduk dan perlakuan Barat tersebut. Kesimpulannya, bertali leher dan reben di tenggok hukumnya harus kerana pakaian sebegitu tidaklah melambangkan unsur agama cuma ia sekadar menampakkan ala keBaratan. Untuk mensabitkan sesuatu itu hukum haram memerlukan kepada dalil yang secara terperinci dan spesifik. Firman Allah :
Maksudnya: “ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
(Al-A`raf : 32)
والله أعلم بالصواب
Dijawab oleh:
Ustaz Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS
Ustaz Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS