Semoga roh mereka tenang di"sana"....ajal datang tanpa diduga.
Hasrat seorang anak saudara untuk membaca surah Yasin ke atas bapa  saudaranya yang nazak tidak kesampaian apabila dia bersama isteri dan  anak lelaki tunggalnya maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki  bersama tujuh lagi penumpang terlibat dalam kemalangan Kejadian memilukan pukul 11.50 malam di Lebuh Raya Utara-Selatan  berhampiran susur keluar Serdang menuju ke Seremban, di sini itu  mengakibatkan Zulkifle Zainul, 29; isterinya, Nur Nazirah Sungip, 20,  dan anak mereka, Mohd. Adam Danis, 2, maut akibat kecederaan parah di  seluruh badan dan kepala.
Zulkifle yang merupakan pekerja kontrak di Jabatan Pemasaran, Utusan  Melayu (M) Berhad dan anaknya meninggal dunia di tempat kejadian  manakala Nur Nazirah menemui ajal di hospital.
Penumpang lain yang menaiki kereta itu, Nur Jumaatun Suhaida, 24; Nor  Atikah, 19; Nur Effandi, 17; Khairuddin, 12; Muhammad Amirul Aiman  Muhammad Nuralif, 5; Nurul Asyura Darwisyah Abdullah, 4, dan Nor  Syahiratul Shafikah, 4, cedera dan dikejarkan ke hospital. 
Nor Atikah dan Khairuddin parah tetapi stabil.
Difahamkan, sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang  ke rumah di Bangi untuk mandi selepas melawat bapa saudara Nur Nazirah  yang nazak di Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak dekat sini. Selepas  itu, mereka berhasrat pergi semula ke situ untuk membaca surah Yasin.
Mengimbau semula kejadian itu, Nur Effandi memberitahu, ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga selepas terdengar jeritan.
Katanya, sebaik membuka mata, dia mendapati kereta yang dipandu Zulkifle berpusing-pusing beberapa kali.