Malaysia mensasarkan untuk melahirkan seramai 300,000  jurutera  menjelang tahun 2020 bagi mencapai matlamat menjadi sebuah  negara maju.
 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled  Nordin berkata,  sasaran itu sejajar dengan tahap negara maju iaitu  seorang jurutera  bagi setiap 100 penduduk.
“Pada masa ini bilangan jurutera sekitar 140,000 orang atau nisbah   seorang jurutera bagi 192 penduduk,” katanya pada satu majlis pelancaran   buku di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada  itu, Mohamed Khaled berkata, terdapat 15 Institusi  Pengajian Tinggi Awam  dan 16 Institusi Pengajian Tinggi Swasta  menawarkan sejumlah 378  program dan bidang kejuruteraan pada waktu ini.
Menurutnya, untuk mencapai sasaran tersebut bidang kejuruteraan   perlu dipantau dan diperkukuhkan dan ia boleh dilakukan menerusi Hala   Tuju Pengajian Kejuruteraan Fasa Dua.
Jelasnya, perkara itu termasuk mewujudkan beberapa skim seperti Felo Kanan bertaraf Prof Madya dan Felo Utama bertaraf profesor.
Selain itu, katanya, langkah melantik tenaga profesional yang mempunyai pengalaman juga dapat menyokong sasaran tersebut.
Tambahnya,  unjuran yang tetap setiap tahun untuk geran penyelidikan  dalam bidang  kejuruteraan dan teknologi antara tahun 2006 hingga 2011  yang  keseluruhan berjumlah RM108.9 juta juga memainkan peranan.