SweetMuslimah.com

Mereka Yang Sudi Membaca

Home » , , , , , » PT3 : Pelajar Tak Puas Hati Boleh Kemuka Rayuan - Timbalan Menteri Pendidikan

PT3 : Pelajar Tak Puas Hati Boleh Kemuka Rayuan - Timbalan Menteri Pendidikan

PETALING JAYA: Ibu bapa dan pelajar tidak berpuas hati dengan keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) boleh membuat rayuan di sekolah masing-masing.



Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, sekolah itu akan mengemukakan rayuan berkenaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah.

"Setiap daerah mempunyai jawatankuasa bebas, maka apabila terdapat aduan, pejabat pendidikan daerah akan menugaskan seorang guru untuk menilai skor bagi melihat sekiranya terdapat sebarang percanggahan," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai ramai pelajar dan ibu bapa mereka kecewa dengan keputusan PT3 berikutan format yang masih baharu dan kekurangan masa untuk membuat persediaan.

Kamalanathan berkata, kementerian itu terbuka menerima cadangan dan maklum balas untuk memperbaiki sistem berkenaan.

"Jika para pelajar tidak berpuas hati, maklumkan kepada kita supaya kita boleh menjadikannya lebih baik. Kita sedia mendengar kerana kita melakukan ini untuk kebaikan pelajar-pelajar kita. Kita mahu mengasah pemikiran aras tinggi (HOTS)," tambahnya.

Tinjauan The Star mendapati para pelajar boleh memohon untuk semakan semula keputusan PT3 mereka dengan memuat turun borang dari laman web Lembaga Peperiksaan dihttp://www.moe.gov.my/lp.

Borang ini juga boleh didapati di sekolah-sekolah dan sektor/unit penilaian dan peperiksaan jabatan pendidikan negeri.

Menurut borang tersebut, permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan rasmi diumumkan. Keputusan rasmi telah dikeluarkan pada Isnin lalu.

"Permohonan yang dihantar selepas tarikh tutup tidak akan diterima," menurut borang itu.

Bayaran sebanyak RM30 akan dikenakan bagi setiap mata pelajaran untuk dikaji semula dan mesti dibayar melalui draf bank atau caj perkhidmatan pos kepada "Pengarah Peperiksaan".

Permohonan yang dibuat pelajar akan dikendalikan oleh sekolah masing-masing manakala permohonan oleh calon persendirian akan diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

Keputusan kajian semula itu akan dimaklumkan melalui surat rasmi yang dihantar dalam tempoh dua bulan dari tarikh permohonan.

Menurut nota yang dinyatakan dalam borang itu, keputusan itu akan menjadi muktamad dan sebarang rayuan akan diterima.

Lebih 450,000 calon menduduki PT3, yang diadakan buat kali pertama pada Oktober lalu.

Pelajar Tingkatan Tiga sebelum ini menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), yang telah dimansuhkan pada akhir tahun lalu.

Pada Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa instrumen kajian kes berbentuk kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi bermula Julai sementara ujian lisan untuk Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu pada Ogos lalu.

Ujian bertulis untuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban, Punjabi dan Kadazandusun diadakan pada Oktober lalu.

Tidak seperti PMR, semua kertas PT3 terdiri daripada soalan subjektif. Ujian telah dijkendalikan dan diperiksa oleh guru sekolah masing-masing dan markah pelajar disemak dan disahkan oleh pentaksir dari Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pelajaran Negeri.-mStar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Baca...Terhangat Di Blog Chegu Zubir