SweetMuslimah.com

Mereka Yang Sudi Membaca

Home » , , , , » Harga Minyak RON 95, 97 Dan Diesel Akan Diturunkan Mulai 1 Januari 2015 - Ahmad Maslan

Harga Minyak RON 95, 97 Dan Diesel Akan Diturunkan Mulai 1 Januari 2015 - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kerajaan memberi jaminan harga petrol RON95, RON97 termasuk diesel akan diturunkan lagi pada 1 Janua­ri depan.



Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu akan dibuat sekiranya trend penurunan harga minyak mengikut pasaran dunia terus berlaku dalam tempoh sepanjang bulan ini.

“Mengikut trend 10 hari dalam bulan Disember ini, harga ketiga-tiga bahan bakar ini terus menurun.


“Namun kita akan buat pengiraan mengikut purata keseluruhan berapa banyak jumlah yang akan diturunkan, tetapi kita pasti ia akan menggembirakan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Koperasi Kredit anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), di sini hari ini.

Pada 1 Disember lalu, harga runcit RON97 turun sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 pula turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, jumlah pendaftaran syarikat untuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga semalam telah mencapai angka 201,440.

Katanya, pertambahan 4,800 syarikat telah membuat pendaftaran itu semalam iaitu jumlah terbanyak direkodkan dalam tempoh sehari sejak dilancarkan pada 10 Jun lalu.

“Oleh itu kita yakin dapat mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 220,000 syarikat pada hari terakhir 31 Disember ini dan pelaksanaan GST pasti akan dilakukan pada 1 April depan.

“GST tidak boleh dilaksanakan sekiranya pendaftaran syarikat sangat kecil tetapi jumlah ini adalah lebih banyak berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) iaitu 63,000 syarikat berdaftar,” katanya.

Dalam usaha ke arah pelaksanaan GST, Ahmad berkata, mana-mana syarikat perunding kursus termasuk penjualan perisian komputer berkaitan GST diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga terlalu mahal.

Katanya, syarikat perniagaan juga diminta tidak menggunakan alasan pelaksanaan GST untuk menaikkan harga barangan mereka sehingga mengelirukan rakyat.

“Kementerian akan mengeluarkan senarai penuh pengecualian barangan GST pada 1 Januari ini,” katanya.

Sumber: Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Baca...Terhangat Di Blog Chegu Zubir