Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, PBT akan diminta menggunakan bahasa Melayu sebagai nama rasmi dan menggunakan bahasa Inggeris dengan huruf kecil
di ruang bawah.“Kerajaan negeri juga telah mengarahkan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) supaya menggunakan nama yang sesuai bagi projek-projek yang dibangunkan di kawasan itu yang merupakan Bandar Diraja Perak.
“Bukan sahaja di Kuala Kangsar tetapi PBT yang lain juga kita telah arahkan supaya menggunakan bahasa rasmi,” katanya di sini hari ini.
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) sebelum ini dilaporkan menggesa MPKK menghentikan amalan memberi nama dalam bahasa Inggeris kepada tempat-tempat yang menjadi ikon pelancongan di bandar itu.
Gapena membuat gesaan itu kerana MPKK telah menggunakan nama Sayong Riverfront bagi projek taman dan landskap tebing Sungai Perak yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM12 juta.
Mengulas lanjut isu tersebut, Zambry berkata, nama yang diguna pakai pada tempat atau papan tanda hendaklah mengambil kira kedudukan dan taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.