Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) akan mengadakan perhimpunan secara aman di Stadium Merdeka di sini pada hari Sabtu ini seperti yang dirancangkan.
Perhimpunan itu adakan diadakan mulai jam 2 petang dan dijangka berakhir dua jam selepas itu.
Demikian pengumuman oleh jawatankuasa berkenaan yang diwakili oleh pengerusinya, Datuk S. Ambiga pada sidang akhbar sebentar tadi.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya berharap pihak polis tidak akan membenarkan penganjur perhimpunan Bersih 2.0 menggunakan Stadium Merdeka.
“Elok mereka (Bersih) pakai sahaja Stadium Shah Alam,” katanya yang turut disokong oleh pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan.
Semalam, Ambiga memberitahu akan tetap akan diadakan pada hari Sabtu ini, cuma ‘bertukar’ lokasi dari jalan raya ke stadium.
Keputusan itu dicapai selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Jawatankuasa Bersih 2.0 yang terdiri daripada Ambiga, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk membenarkan jawatankuasa Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan secara tertutup di stadium demi kebaikan semua pihak agar tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Pergi secara aman, berhimpun secara aman dan bersurai secara aman,” kata beliau.