SweetMuslimah.com

Mereka Yang Sudi Membaca

Home » , , » Doktor Lelaki Atau Perempuan...Renungkan

Doktor Lelaki Atau Perempuan...Renungkan

Isu yang ingin c.z  bawa kali ini mungkin agak sensitif, namun amat menyedihkan sekali kerana ianya tidak dianggap serius di kalangan masyarakat kita dan seringkali dipandang remeh. Apa isunya? Tak lain tak bukan, isu nak pilih doktor untuk dapatkan rawatan! Nak jumpa doktor lelaki ke, nak jumpa doktor perempuan?


Kalau ditanya, tidak ramai yang mengambil kira isu aurat dalam membuat pilihan. Lebih ramai yang beranggapan, aurat boleh didedahkan kepada mana-mana doktor sewenang-wenangnya atas maslahat keperluan. Benarkah begitu? Sama-sama kita menghayati terjemahan artikel soal-jawab bersama Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid. Artikel asal dalam Bahasa Inggeris boleh didapati di sini.
Soalan :
Boleh anda terangkan kepada saya, masalah mengenai pemilihan doktor untuk merawat kita? Menurut apa yang diberitahu oleh cikgu saya, apabila pesakit itu seorang muslimah, sepatutnya pemilihan doktor adalah mengikut urutan keutamaan sebagaimana berikut :
1. Doktor perempuan muslim ;
2. Doktor perempuan bukan muslim ;
3. Doktor lelaki muslim ; dan yang terakhir ialah
4. Doktor lelaki bukan muslim.
Ini bermakna, apabila tiada doktor perempuan di dalam sesuatu bidang pengkhususan rawatan, barulah kita boleh memilih doktor lelaki.
Namun begitu, kawan saya pula mengatakan bahawa cikgunya berkata, doktor yang muslim sama ada perempuan atau lelaki menjadi keutamaan, kemudian barulah doktor perempuan atau lelaki bukan muslim.
Saya tertanya-tanya di dalam hal ini. Saya faham bahawa sebagai doktor yang beragama Islam, mereka tentunya lebih amanah daripada yang bukan muslim. Namun, bukankah persoalan mengenai aurat adalah lebih penting di dalam hal ini, dan seterusnya mengelakkan fitnah?
Sebahagian daripada kawan saya (perempuan) telah memilih doktor perbidanan lelaki (muslim) untuk memantau kandungan mereka dan seterusnya menyambut kelahiran bayi mereka, sedangkan di sana masih ramai doktor perbidanan perempuan (muslim dan bukan muslim).
Mohon nasihat dari ustaz.
Terima kasih.
Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas bantuan ustaz, InsyaAllah.
Jawapan :
Setinggi-tinggi pujian kepada Allah, Tuhan sekalian alam dan selawat serta salam ke atas insan yang diutuskan sebagai rahmat ke dunia ini, iaitu junjungan kita Nabi Muhammad SAW, seluruh ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
Berikut ialah beberapa dasar dan panduan berkenaan isu ini :
Pertama:
Aurat (yang perlu ditutupi) oleh seorang lelaki ialah di antara pusat dan lututnya, kerana Nabi S.A.W pernah berkata:
"Bahagian di antara pusat dan lutut itu adalah aurat."
(Hadis Hasan diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawood dan al-Daaraqutni)
Ia merupakan pendapat majoriti ulama'.
Kedua:
Seluruh bahagian seorang perempuan adalah aurat dan perlu ditutupi daripada orang yang bukan mahramnya, berpandukan ayat (terjemahannya):
"Dan apabila kamu ingin meminta (daripada isteri-isteri mereka) apa-apa yang kamu perlukan, mintalah daripada sebalik tabir"
(Al-Ahzab 33:53)
Juga berpandukan hadith,
"Seluruh bahagian badan seorang perempuan adalah aurat."
(Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dengan isnad sahih)
Ini adalah pendapat yang benar menurut Mazhab Hambali, salah satu dari pendapat Imam Maliki, dan salah satu dari pendapat Imam Shafi'i.
Ketiga:
Memandang aurat dengan sengaja adalah salah satu perkara yang sangat ditegah. Seorang muslim itu perlulah menundukkan pandangannya dan menahan diri dari melihat kepada yang bukan mahramnya.
Allah telah berfirman (terjemahannya) :
"Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (dari melihat perkara yang haram), dan memelihara kehormatan mereka (dari melakukan zina dan yang seumpamanya). Demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (dari melihat perkara yang haram), dan memelihara kehormatan mereka (dari melakukan zina dan yang seumpamanya)..."
(Al-Nur 24:30-31)
Nabi SAW bersabda :
"Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki yang lain dan seorang perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan yang lain."
(Diriwayatkan oleh Muslim)
Dan baginda S.A.W pernah berkata kepada Saidiana Ali r.a :
"Janganlah kamu melihat peha seseorang, samada yang masih hidup atau yang telah mati."
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, hadis sahih).
Keempat :
Jika ianya haram untuk melihat aurat, ianya juga haram untuk menyentuh aurat, walaupun berlapik dengan kain atau pakaian. Nabi SAW pernah bersabda:
"Aku tidak berjabat tangan dengan perempuan."
(Diriwayatkan oleh Imam Malik dan Imam Ahmad, hadis sahih)
Dan baginda SAW juga pernah bersabda:
" Jika salah seorang daripada kamu hendak ditikam di kepalanya, itu adalah lebih baik baginya daripada dia menyentuh seorang perempuan yang tidak dibolehkan untuknya sentuh (bukan mahram)."
(Diriwayatkan oleh Imam Tabrani, hadis sahih)
Imam Al-Nawawi r.a pula pernah berkata:
"Di mana ianya dilarang untuk melihat, ianya juga dilarang untuk menyentuh, dan menyentuh itu lebih ditegah, kerana ianya lebih disukai (mendatangkan keseronokan)."
Kelima:
Perkara yang dikira aurat terdiri daripada pelbagai jenis dan tahap-tahapnya. Bahagian yang "paling aurat" ialah bahagian kemaluan samada depan atau belakang. Kemudian, bahagian yang "kurang aurat" ialah seperti peha seorang lelaki di depan sesama lelaki.
Keenam :
Kanak-kanak kurang daripada 7 tahun tidak termasuk di dalam peraturan aurat ini. Aurat seorang kanak-kanak lelaki yang sudah dapat membezakan perkara (mumayyiz) - antara umur 7 hingga 10 tahun - adalah bahagian kemaluan, manakala aurat kanak-kanak perempuan seusia itu pula ialah dari pusat sehingga ke lutut (peraturan di atas adalah di dalam keadaan tiada ketakutan atau fitnah).
Aurat mayat pula ialah sama seperti aurat bagi orang yang masih hidup. Manakala bagi orang yang jantinanya tidak jelas pula (khunsa), auratnya ialah seperti seorang perempuan, kerana dia mungkin sebenarnya seorang perempuan.
Ketujuh :
Di dalam keadaan keperluan, perkara yang biasanya haram adalah dibenarkan. Para ulama' bersepakat bahawa adalah dibolehkan untuk seorang doktor lelaki melihat bahagian sakit seorang pesakit perempuan apabila perlu, tetapi di dalam batasan syari'at. Begitu juga, doktor lelaki adalah dibenarkan untuk melihat aurat pesakit lelaki. Tetapi, dia hanya dibenarkan melihat di bahagian yang sakit setakat yang perlu, dan tidak berlebih-lebihan.
Peraturan yang sama juga adalah terpakai bagi doktor perempuan. Peraturan ini berdasarkan kepada pendapat mengutamakan kepentingan menyelamatkan nyawa berbanding kepentingan melindungi aurat, di dalam kes-kes yang melibatkan konflik di antara dua kepentingan ini.
Kelapan :
"Keperluan perlu dinilai berdasarkan tahap-tahapnya." Sebelum ini, telah dinyatakan bahawa dibenarkan untuk mendedahkan, melihat, menyentuh dan sebagainya, untuk tujuan rawatan di dalam kes keperluan yang perlu disegerakan. Namun, di dalam apa keadaan sekalipun, adalah tidak dibenarkan untuk melewati batasan syariat Islam. Peraturannya adalah seperti berikut:
Keutamaan perlu diberikan kepada rawatan oleh doktor yang sama jantinanya dengan pesakit. Apabila seorang pesakit perempuan perlu didedahkan auratnya (untuk tujuan rawatan), pilihan utama perlu diberikan kepada doktor muslimah yang berkelayakan. Jika tidak ada, turutan pilihan seterusnya ialah doktor perempuan bukan muslim, doktor lelaki muslim, dan yang terakhir, doktor lelaki bukan muslim. Jika keadaan penyakit itu memadai hanya dirawat oleh doktor perubatan biasa perempuan, pesakit itu tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki walaupun doktor lelaki itu adalah doktor pakar.

Kita memohon kepada Allah S.W.T supaya membantu kita memahami agama Islam dengan lebih sempurna, membantu kita mentaati syari'at Islam dan menjaga hak-hak sesama orang-orang Islam. Allah jualah tempat meminta pertolongan dan menunjuk ke jalan yang lurus.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Baca...Terhangat Di Blog Chegu Zubir