Assalam semua
alhamdulillah nampaknya program berbentuk agama
sudah mula diminati oleh golongan muda
termasuk luar negara 
dari Indonesia, Singapura dan Juga Brunei
percaya atau X???itu kenyataan
jom baca nih :
             Imam Muda 2 Dekati Warga Singapura, Indonesia & Brunei           
KUALA LUMPUR: Musim baru program Imam Muda bukan sahaja  memberikan cabaran baru kepada para peserta malah turut menerima  penyertaan daripada negara jiran iaitu warga Indonesia, Singapura dan  Brunei.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar yang turut menjadi  salah seorang juri untuk peringkat akhir pemilihan uji bakat Imam Muda musim kedua, tidak dinafikan kebanyakan peserta yang hadir ke sesi uji bakat lebih berkualiti berbanding musim lalu.
Namun, dari segi penyertaan menurun sebanyak 30 peratus berbanding musim lalu.
“Mungkin ada penonton tidak berani menghadiri uji bakat setelah  melihat tugasan dan cabaran yang dilalui oleh peserta Imam Muda musim  pertama lalu.
“Namun, kami berbesar hati apabila menerima sambutan peserta yang bukan berwarganegara Malaysia.
“Kami mengalu-alukan penyertaan mereka kerana menganggap Islam  merupakan agama sejagat yang tidak eksklusif kepada sesuatu bangsa  sebaliknya mahu melahirkan remaja berilmu di persada dunia. Namun  begitu, mereka perlu fasih berbahasa Melayu,” kata Izelan ketika sesi  uji bakat Imam Muda 2 di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, di sini,  Sabtu.
Sebelum ini, Imam Muda 2 telah melalui sesi uji bakat di lima lokasi  seluruh Malaysia. Antara yang paling mendapat sambutan peserta paling  ramai adalah di Masjid Zaher, Alor Setar pada 25 dan 26 Februari lalu  serta Wisma MUIS, Kota Kinabalu (12 dan 13 Februari).
“Untuk cabaran baru kali ini, kita akan mengetengahkan tentang  ekonomi seperti pasaran saham serta isu halal dan haram dalam urusniaga.
“Kita juga akan memberikan pendedahan tentang perubatan Islam  mengikut al-Quran dan hadis. Sebolehnya, kita mahu melahirkan imam muda  yang mempunyai pengetahuan am yang meluas dan bukan sekadar ilmu agama,”  ujar Izelan lagi.
Tambahnya: “Seseorang itu perlu ada keseimbangan antara ilmu dunia  dan akhirat. Kita mahu mencari remaja Islam yang boleh seimbangkan  antara pengetahuan am dan ilmu akhirat.
“Setakat uji bakat yang diadakan sebelum ini, ada yang bagus dalam  ilmu agama dan bacaan ayat al-Quran tetapi tidak mengetahui tentang  pengetahuan am. Sebab itu kami perlu membuat dua peringkat sesi uji  bakat di setiap lokasi sebelum menentukan 10 peserta yang betul-betul  layak.
“Pada peringkat pertama sesi uji bakat dihakimi oleh wakil Jabatan  Agama Islam setiap negeri dan setiap peserta diuji dari segi bacaan  surah Al-Fatihah, surah lazim dan pengetahuan agama Islam.
“Bagi yang berjaya ke peringkat kedua akan diuji dinilai tentang  pengetahuan am dan penampilan. Selain itu, alumni Imam Muda 1 turut  berpeluang mengadili sesi uji bakat ini.
“Peserta yang berjaya ke peringkat seterusnya akan diadili oleh saya  dan Pengetua Imam Muda, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz pada minggu  depan.”
Untuk sesi uji bakat di sini, juri yang terlibat adalah Ustaz Tarmizi  mewakili Jabatan Agama Islam Negeri, penerbit eksekutif Nizam Mansah,  Nizam Hamid, Izelan Basar, Asmawi (Jabatan Agama Islam Wilayah  Persekutuan), Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Miril.
Peserta yang hadir berusia antara 18 hingga 27 tahun terdiri dari  pelbagai latar belakang seperti sekolah pondok, universiti dan golongan  profesional seperti doktor dan jurutera.
Sesi uji bakat di sini berakhir pada 6 Mac bermula pukul 8 pagi  hingga 5 petang. Peserta yang berminat perlu membawa salinan kad  pengenalan dan dua keping gambar bersaiz 4R.
Siaran uji bakat Imam Muda 2 akan bermula pada 1 April ini, pukul 9  malam di Astro Oasis (saluran 106) manakala 10 peserta yang terpilih  akan berentap pada 29 April.
 
 
 
 
 
