CUEPACS Tetap Minta Bonus Setengah Bulan Sempena Aidilfitri

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini tetap meminta kerajaan memberi bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus itu dapat mengurangkan beban mereka dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.
“Sekarang ramai peniaga yang menaikkan harga barang sempena musim perayaan. Jika diberi bonus setengah bulan itu diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.