AMALAN MEMURAHKAN REZEKI
Amalan-amalan  ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan  rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah  diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk  memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca  kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai  anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu  kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan  penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”  (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar  adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang  menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia  berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang  siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala  kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari  arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu  Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar  tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat  hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak  ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki  yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu)  orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati  Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”  (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam  hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang  ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada  ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga  bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah  buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala,  at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila  hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya  terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan  ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat  baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan  meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,juga isteri  dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada  hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak  tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan, dan  kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua  hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya  kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan  jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.Manakala kejahatan pula boleh  menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki  dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut  Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik  selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi  s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan  dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”  (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang  Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai  beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda  s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari  hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada  Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai  Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang  dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya.  Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah  membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah  menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (Tahajud)
Ada  keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki,  menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya  dimakbulkan Allah
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan  solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia  (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam  hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas  mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti  pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat  al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi  sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku  kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku  amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi  balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir  dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,  menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk  keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi  kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah  at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap  kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan  kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha  Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki  jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah”  berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk  mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya  `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah  setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa  menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan  mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah  suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa  berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih  dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan  yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang  dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi  orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh  membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya,hendak tenang  dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak  dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik  dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,  hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi  s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan  sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi  rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat  Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin  al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah  amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri  “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya  rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek  kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang  sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini  menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya  dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.