“Saya tidak pernah menuduh Perdana Menteri atau isterinya terbabit  dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu,” demikian pengakuan  pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang muncul  buat kali pertama selepas lama menghilang diri.  
   Dalam satu temubual bersama TV3 di Perth, Australia baru-baru ini  dan disiarkan stesen televisyen itu malam tadi, Raja Petra berkata,  beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa  individu yang tidak mahu Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan  Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau  berkata, akuan bersumpah (SD) dibuatnya pada 18 Jun 2008 hanya  bersandarkan maklumat diperoleh daripada beberapa individu yang didakwa  ada kaitan dengan beberapa tokoh politik termasuk ketua pembangkang,  Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri  Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.
  “Dalam SD saya itu, saya bercerita orang ini sudah beritahu dan  biarlah orang ini yang datang dan bercerita dan pihak berkuasa perlu  siasat serta panggillah orang ini.
“Itu yang saya tulis  dalam SD. Saya sendiri tidak timbulkan apa-apa tuduhan. Saya tidak kata  saya tahu yang isteri Timbalan Perdana Menteri (jawatan Najib ketika  itu) ada di tempat kejadian.
“Saya tidak cakap. Saya tidak  buat satu tuduhan seperti itu. Yang saya kata, ada orang yang bercerita,  tetapi bergantung kepada pihak berkuasalah untuk menyiasat perkara ini  lebih lanjut lagi dan untuk orang ini ke depan. Saya juga sebut nama  orang ini, saya sebut semasa siasatan polis,” katanya.
  Raja Petra mendakwa, antara individu memberi maklumat termasuk yang  bernama Nik Azmi Nik Daud, John Pang, penulis blog, Din Merican, selain  seorang pegawai perisik angkatan tentera yang dikenali sebagai Leftenan  Kolonel Azmi Zainal Abidin.
“Saya tidak terima lagi cerita  itu sebab saya rasa mungkin mustahil kot. Takkanlah isteri Perdana  Menteri nak pergi tempat itu kerana tempat itu kawasan tempat hutan dan  saya dok fikir dia nak panjat bukit, masuk hutan tengah malam, jam 12  tengah malam, saya ingat mustahil kot,” katanya.
  Raja Petra mendakwa, dalam pertemuan dengan Nik Azmi, beliau bertanya mengapa beliau didesak membuat akuan bersumpah itu.
“What do you hope to achieve? (Apa yang anda harapkan?) Dia kata, Pak  Lah akan letak jawatan. Kalau kita tak ‘block’ (sekat) Najib, Najib akan  menjadi Perdana Menteri ganti Pak Lah,” katanya.
Katanya, beliau juga meminta Din Merican untuk mendapatkan pengesahan daripada Anwar terlebih dulu.
“Din Merican pun contact (hubungi) saya balik. Dia kata, dia dah cakap dengan Anwar dan Anwar bagi green light (lampu hijau).
“Anwar pun kenal baik dengan dia ini dan dia pun biasa jumpa  Anwar...Leftenan Kolonel ini, dan dia pun banyak bercerita kepada Anwar  mengenai isu ini. Dia kata proceed (teruskan), saya pun proceed,”  katanya.
Raja Petra mendakwa, semua individu itu berjanji akan menjadi saksi jika beliau didakwa di mahkamah.