Polis tidak menolak kemungkinan akan bertindak ke atas trio Datuk T  kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks melibatkan pelaku yang  dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl  Sani Abdullah Sani berkata, kemungkinan itu wujud berikutan siasatan  mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan  lucah itu menjurus kepada mereka, pihak yang menayangkan video.
Beliau berkata kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara Khamis ini.
"Ada kemungkinan mereka akan didakwa mengikut Sekyen 292 itu kerana ia menjurus kepada mereka, pihak penayang."
"Namun bukan polis yang menentukan keputusan itu sebaliknya pejabat  Peguam Negara. Kami akan adakan sidang akhbar nanti bila segalanya  selesai," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini pada Isnin.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kertas siasatan, beliau berkata  masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemaskini dan dilengkapkan  dalam siasatan itu, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk  tindakan susulan.
"Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas) itu pada  Khamis ini... sementara itu kami tunggu respons daripada pihak yang  menyediakan dua perkara itu.
"Dua perkara ini tidak boleh didedahkan dahulu ketika ini kerana ia  lebih kepada pendakwaan dan menganggu tugas pejabat Peguam Negara,"  katanya.
Ditanya mengenai sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku  dalam video seks itu, Acryl berkata: "Kami (polis) tiada peruntukan  undang-undang untuk menahan mereka dan mengambil keterangan.
"Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang  penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang-undang  terhadap si pelaku," katanya.
Pada 21 Mac lepas, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan  terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai "Datuk T" di Carcosa Seri  Negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini mengumumkan  bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar  tempatan yang memeriksa video berkenaan.