PETALING JAYA: Pelakon Diana Danielle, 20, (gambar) bakal  melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan di Sekolah Filem &  Lakonan Akademi Filem New York di Los Angeles pada bulan depan.
Menurut Diana yang tidak sabar memulakan pengajiannya di akademi  terkenal itu, dia merasakan keputusan itu merupakan idea yang bagus  untuk menggilap kemahiran lakonannya.
“Walaupun kita sudah menjadi pelakon berbakat, beberapa teknik  lakonan mampu membantu untuk meningkatkan penghayatan lakonan kita,"  kata pelakon cantik berdarah Inggeris ini.
Dia baru menyelesaikan pengajian matrikulasi dalam jurusan Biosains di Universiti Nottingham, Semenyih, Selangor.
Diana akan terbang ke Los Angeles pada 5 April ini untuk memulakan  kursus intensif selama sebulan sebelum meneruskan kursus lakonan pada  jangka masa panjang.
“Saya cuba berunding dengan pihak pengurusan untuk mengikuti  pengajian mengikut masa yang fleksibel. Jadi, saya boleh pulang ke  Malaysia selepas beberapa bulan untuk menyelesaikan kerja di sini.
“Saya masih terikat untuk menyelesaikan beberapa penggambaran produk  yang menaja saya,” kata duta Nano White, Public Gold dan Sunsilk itu.
Tambahnya: "Kebanyakan pelakon hebat terlibat dengan latihan lakonan.  Saya mahu menjadi seperti mereka. Ia sangat berguna kepada saya apabila  mendapat watak yang lebih mencabar. Sekurang-kurangnya saya mendapat  beberapa teknik lakonan untuk dibawa pulang ke sana."
Menariknya, kelas lakonan di akademi itu hanya mempunyai enam hingga lapan pelajar dalam sebuah kelas.
Menurut ibu Diana, Norsiah Ramli, program di akademi itu menyediakan  teknik-teknik lakonan kamera moden di samping asas berlakon teater  kepada para pelakon. Tenaga pengajar profesional terdiri dari pelakon,  penulis, pengarah, penerbit dan individu berpengalaman di Hollywood,  filem indie dan televisyen.
Semua pelajar akan mendapat latihan peribadi dan disiplin ketat sebelum memulakan karier dalam filem dan televisyen.
Bagi pelakon filem Magika itu, pengalaman belajar di Sekolah Filem New York bakal melengkapkan kemahiran lakonannya.
“Saya akan terdedah dengan banyak perkara baru dan belajar banyak  perbezaan seni lakonan filem, drama dan teater serta peluang bekerja  dalam dunia dan produksi filem sebenar.
“Saya berharap apabila pulang nanti, saya menjadi pelakon yang lebih  bagus kerana itulah yang saya impikan iaitu melakukan yang terbaik dalam  setiap kerja yang dilakukan,” kata pelakon filem Hanyut dan … Dalam Botol ini.
Menyentuh tentang peluangnya memenangi anugerah Pelakon Filem Paling  Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010 di samping pesaingnya  iaitu  Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Maya Karin dan Scha Alyahya, Diana  berkata, "peminat akan membuat keputusan terbaik."
"Saya jangka Lisa Surihani tetapi calon lain juga mempunyai peluang  besar untuk memenangi anugerah itu. Saya gembira dengan siapa sahaja  pilihan peminat untuk menang," kata model dan pelakon yang mula  diperkenalkan menerusi filem Idola.
Diana juga akan memulakan karier nyanyiannya pada tahun ini. Dia  bakal menerbitkan single pertamanya bergenre rock balada akustik  berjudul Tak Pernah Ada sebelum hujung tahun ini. 
